27 Nov 2015

Si abang Pae-Bedak Sejuk

AssaLamualaikum
Tengok ni hah! Si abang Pae pakai sendiri bedak sejuk. Suka dia. Ambil bedak, letak air sikit lepas tu tengok cermin pakai. Hahaha! Siap ajak Ibu, "jom Ibu pakai bedak sejuk". Bedak sejuk pun buat sendiri, nenek dia yang buat untuk MakCu Pae. Yang si abang ni pun suka ikut pakai. Hihi!
Banyak kebaikan bedak sejuk ni kan. Kalau dulu, memang ini sahaja lah yang kita pakai. Selamat dan dijamin halal. Zaman ini telah digantikan dengan pelbagai krim-krim kecantikan yang kadang berbahaya pada kulit. Mengandungi bahan kimia berbahaya. Yang akan memberi kesan jangka panjang. Berbalik lah kita pada bedak sejuk! Haha. Jumpa lagi!..

26 Nov 2015

Keselamatan Internet DiKalangan Kanak-Kanak 2014

AssaLamualaikum

Sedarkah kita bahawa terkadang semua maklumat tentang diri & keluarga sebenarnya ‘didedahkan’ oleh kita sendiri menerusi laman sosial seperti Facebook dan Instagram tanpa menyedari kita sedang menjerumuskan diri dan keluarga dalam ancaman jenayah siber. 
Hasil Kajian Kebangsaan Keselamatan Internet Dalam Kalangan Kanak-Kanak Sekolah di Malaysia tahun 2014 mendapati:
- 40 % tidak tahu cara melindungi diri mereka dalam talian.
- 83 % terdedah kepada risiko dalam talian disebabkan langkah perlindungan yang minimum.
- 70 % tidak mengambil berat mengenai pencerobohan privasi atau ketanpanamaan orang yang mereka berinteraksi.
- Lebih 40 % mengatakan keselamatan dalam talian adalah penting tetapi hanya mengambil langkah perlindungan yang rendah.
Kesedaran tidak semestinya dituruti dengan tindakan positif:
- Lebih 70 % melakukan pelbagai bentuk gangguan dalam talian seperti memanggil seseorang dengan nama yang tidak disukai dan menghantar mesej atau gambar yang tidak sopan.
- 64 % merasakan menghantar SMS atau gambar yang tidak sopan dengan menggunakan nama samaran bukanlah buli siber.
- 26 % pernah mengalami buli siber, kebanyakan mereka berumur 13 hingga 15 tahun.
- Lebih 50 % melayari talian tanpa pemantauan dan 40 peratus mendakwa mereka tidak terikat dengan sebarang undang-undang keselamatan siber.
- 61% kanak-kanak mengadu kepada ahli keluarga apabila menghadapi pengalaman negatif dalam talian.
- 6 % memilih untuk berdiam diri apabila dibuli walaupun mempunyai pilihan melaporkannya kepada ahli keluarga, pendidik atau pihak berkuasa.
*Semoga anak-anak kita sentiasa dilindungi daripada anasir-anasir yang tidak baik. Zaman serba maju dan berteknologi tapi nilai kemanusiaan semakin nipis. Itulah hakikat*. Jumpa lagi!

Sumber daripada Harian Metro 

25 Nov 2015

Roti Canai Solai

Petang semua
Edisi makan petang semalam, pekena roti canai solai. Haha. Ayat En Kuling, "anne, roti canai solaii". Sesekali, tak boleh selalu. Dok risau roti canai yg tinggi kandungan kolestrol nya. Huhu. Kalau si abang Pae memang peminat setia roti telur. Memang habis dia makan sehelai sorang. Pastinya minum dengan segelas teh tarik. Jumpa lagi.

24 Nov 2015

Hari Graduasi TADIKA My Irshad..

AssaLamualaikum
Hari Sabtu baru-baru ini 21/11/2015 telah berlangsung hari graduasi Abang Pae. Majlis bermula seawal jam 7.00am. Tamat sesi persekolahan untuk 5 tahun bagi tahun 2015. InsyaAllah tahun hadapan sambung untuk 6 tahun pula. Majlis graduasi diadakan di ball room, Saujana Putra Lahad Datu. Meriah dengan persembahan anak-anak dan sesi penyampaian hadiah serta sijil.
Alhamdulillah Abang Pae dapat tempat ke-2 untuk kategori 5 tahun
Hadiah abang Pae. 
Jimat, tahun depan tak perlu beli segala stationary:)
Persembahan- tema: cita-cita bila besar nanti. Si abang Pae kata nak jadi Askar. Haha!
Inilah askar Ibu. Hihi
Candid bersama teacher yang mengajar. Happy :)

Majlis berakhir dalam pukul 12.00pm. Alhamdulillah, berakhirnya sesi persekolahan abang Pae untuk tahun ini. Penuh cabaran dengan babah yang jauh. Kena bertabah sentiasa untuk memastikan anak sekolah dengan lancar. Terima kasih pada cikgu-cikgu tadika yang telah mencurah ilmu.
Jumpa lagi!..

20 Nov 2015

Ironi Dan Realiti Di Zaman Kita

AssaLamualaikum
Salam Jumaat semua.
Untuk renungan. Perkongsian dari Facebook Ustaz Dr Mohd Izhar Ariff.
Banyak rumah besar --- keluarganya makin kecil
Gelaran makin tinggi --- akal sihat makin rendah
Perubatan makin canggih --- kesihatan makin buruk
Travelling keliling dunia --- tak kenal dengan tetangga
Penghasilan bertambah --- tak ada ketenteraman jiwa
Kualiti ilmu tinggi --- kualiti emosi rendah
Manusia makin banyak --- rasa kemanusiaan makin menipis
Pengetahuan makin bagus --- kearifan makin berkurang
Pengkhianatan makin marak --- kesetiaan hampir punah
Banyak teman di dunia maya --- tak punya sahabat sejati
Minuman keras makin banyak --- air bersih makin berkurang
Pakai jam tangan mahal --- selalu kekurangan waktu
Ilmu semakin tersebar --- adab dan akhlak makin lenyap
Al Qur’an banyak dihafal --- sedikit sekali yang mengamalkan
Belajar semakin mudah --- guru makin tak berharga
Teknologi informasi kian canggih --- fitnah dan aib makin banyak tersebar
Orang yang sedikit ilmu banyak bicara --- orang yang banyak ilmu terdiam
Akhir zaman… tampak jelas dihadapan kita ya ikhwan.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ . .
“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari siksa Jahannam, dari siksa kubur, dari fitnah hidup dan mati dan dari keburukan fitnah Al Masih Ad Dajjal” (HR. Muslim no. 588)

Moga bermanfaat pada kita semua. Jumpa lagi..

19 Nov 2015

Bertanyalah khabar mereka....

Salam Petang Khamis
Anak-anak yang jauh di rantau pasti mengundang rasa rindu pada ibu bapa. Kita pun nak balik selalu kadang ada kekangan. Zaman serba canggih ini semua hanya di hujung jari. Tanyalah khabar mereka. Jangan biar mereka mencari dan rindukan kita. Ibu bapa pun sekarang dah ada yang advance. Siap boleh sms, call atau What Apps. Tak kurang juga yang dah ada Facebook. So, tiada alasan untuk tidak berhubung kan? Selagi mereka ada, hargai lah orang tua kita. Peringatan buat aku juga. Jumpa lagi ya!..
*Orang yang taat kepada ibu bapa mendapat rahmat setiap saat. Jom audit diri!-Prof Dr Muhaya*.
 


Ahad baru-baru ini

AssaLamualaikum
Ahad baru ini jalan-jalan cari makan. Awalnya nak ke pasar tani pagi sahaja. Meleret hingga ke waktu lunch. Anak dan bapa nak sangat makan pizza. Kita layankan sahaja. Sesekali. Sampai kat Pizza Hut orang tak ramai sangat, tapi menunggu pizza siap pun hampir setengah jam. Sempat habis makan side order yang lain. Huhu.
Kami order yang set Smoked BBQ Chicken Pizza (regular sahaja). Babah dan anak lah yang habiskan. Yang Ibu ni tak berapa sangat. Al-maklum tekak kampung. Balik rumah cari nasi juga. Haha! Petang Ahad tu En Kuling flight ke Sibu. InsyaAllah bulan depan jumpa lagi. Bye..

18 Nov 2015

Biskut apa ntah??

Petang semua
Dok minum petang ni, secawan Mineral Coffe dan biskut bunga. Inti jem nenas. Tak tahu nama biskut. Dah lupa! Hehe! Cuma yang ingat biskut ni dah lama. Dari zaman kecil-kecil lagi dah ada. Beli di pasaraya 130gram RM3.24. Makan sorang je. Si abang Irshad memang tak pandang. Siap tanya "apa tu Ibu"? Dia sibuk celup Oreo dengan susu. Anak-anak sekarang makanan dulu mana kenal dah.
Kalau tanya burger, sosej, nudget, bun, pizza semua kenal.  Haha. 
Jumpa lagi..

17 Nov 2015

Masa yang terbaik untuk Makan..

AssaLamualaikum
Sharing is caring. Plan nak kurus masih berjalan walaupun progress sangat perlahan. Haha! Masa terbaik untuk kita ambil setiap makanan. Mana tahu boleh kita praktikkan kan? :
Aku kadang suka skip sarapan pagi. Pastu lunch kelaparan. Makan sedap. Malam kadang makan, kadang skip tengok keadaan. Haha! Bila En Kuling balik sini, asyik makan sahaja. Asyik mengunyah! Hahaha! Nak kena atur semula masa makan ni. Moga tahun depan dapat kurus seperti yang diharapkan. Asyik berazam, berjayanya tidak lagi. Hahaha. Jumpa lagi...

Teringin sambung belajar..

AssaLamualaikum
Tengok kawan-kawan post di FB ada beberapa sahabat baik masa study dulu telah habiskan Master dengan jayanya. Ada beberapa orang juga yang sudah bergelar doktor falsafah. Alhamdulillah, tahniah sahabat-sahabatku sekalian. Aku tumpang berbangga dengan kejayaan kalian. Melihat dari jauh kejayaan korang, ada terdetik betapa kerdil nya aku. Teringin sambung belajar ni dah lama juga sebenarnya, dah pernah suarakan pada En Kuling. En Kuling amat menyokong sebenarnya, dia amat menggalakkan. Cuma aku sahaja yang kadang masih berbelah bahagi. Hihi!
Kenangan zaman study memang antara paling indah dalam hidup aku. Merantau jauh, menyeberang Laut China Selatan. Berkenalan dengan sahabat-sahabat dari pelbagai negeri. Memahami budaya mereka. Alangkah indah! (melalut pulak. Haha). Doakan moga masih ada ruang untuk terus menuntut ilmu demi memperbaiki diri. Rasa-rasanya kalau sambung belajar, otak masih berfungsi dengan baik tak?? Sel-sel otak masih berhubung tak? haha.
Jumpa Lagi..
*Tahniah juga buat sahabat blogger Dr Nurbijen yang telah berjaya menghabiskan pengajian dengan jayanya. Tumpang berbangga.

16 Nov 2015

Fesyen Rambut Vs Capang..

AssaLamualaikum
No idea untuk tajuk. So, letak lah sesuka hati. Haha! saja nak letak sini si abang Pae potong rambut last week. Dek sebab fesyen rambut macam tu, maka telinga yang capang makin terserlah. Badan keding juga makin kelihatan. Makin tinggi! Sabar jak lah. Mood makan kadang bila datang semua makanan mau. Bila mood tak mau makan sudah mari, kita ajak buat tak tahu sahaja. Huhu!
Dua tiga hari ini agak sedikit stress. Celaru. Serabut. Selirat. Semua perkara nak kena fikir (lari tajuk dari entry asal) Haha! Nanti dah ok sikit, aku BW rumah kawan-kawan ya. Jumpa lagi...

15 Nov 2015

10 Negara-Pelancongan Halal

Assalamualaikum. Buat apa tu?? Ramai yang 'ukur jalan' kot. Hehe. CutI sekolah dekat pasti ramai yang plan cuti-cuti. Tak kiralah sama ada dalam ataupun luar negara. Bagi yang ada rancangan ke luar negara mungkin negara-negara di bawah ini boleh dipertimbangkan untuk dilawati suatu hari nanti. Senang untuk mendapatkan makanan halal salah satu yang perlu difikirkan bila melancong. Betul tak? Jumpa lagi..

13 Nov 2015

Kupasan Kitab Ziarah ke Alam Barzakh (Al Imam Jalaluddin As-Suyuti)

AssaLamualaikum
Entry panjang berjela. Renungan dipagi Jumaat yang mulia ini. Menarik untuk dikongsikan.
Intipati catatan kuliah Dhuha Oleh Ustaz Ahmad Dusuki:

1. Kehidupan manusia bermula dari
- Alam rahim
- Alam fana
- Alam barzakh
- Alam mahsyar
- Alam syurga @ neraka
2. Ketika air mani dipancarkan ke dalam rahim, 40 juta sperma berenang masuk & hanya satu sahaja yang diizinkan Allah bercantum dengan ovum untuk membentuk nuftah & hidup di alam rahim sehingga 9 bulan.
3.Ketika di dalam kandungan(4 bln) akan ditiupkan roh dan ditetapkan 4 perkara iaitu:
- Rezeki
- Ajal (bila, di mana, bagaimana)    
- Amalan & kehidupan ( kahwin dengan siapa, berapa orang anak, adik beradik)
- Ahli syurga@ neraka.
4. Walaupun telah ditentukan 4 perkara tersebut qada dan qadar manusia boleh berubah.
5. Qada dan qadar ada 2 iaitu :
- Qada Mubram  iaitu qada yang boleh berubah melalui doa
- Qada Muallaq  iaitu qada yang tidak boleh berubah. Contoh : 40 hari sebelum kematian
6. Kita hidup di alam ini adalah dalam keterpaksaan, dipaksa  & terpaksa.
7. Kita dipaksa keluar dari alam rahim ke alam fana (dunia), alam kanak-kanak alam remaja (12 - 21 tahun), alam dewasa (22- 40 tahun), alam tua (lebih 40 tahun). Lebih 70 tahun disebut tua bangka.
8. Masa remaja adalah salah satu juzuk dari kegilaan. Lihatlah dunia remaja percakapan, cara berpakaian kadang-kadang celaru dan gila. Saat remaja adalah saat kebingungan. Satu alam yang terpaksa dilalui dari remaja dipaksa menjadi dewasa.
9. Hadis nabi ada menyebut  setiap manusia Allah berikan ujian sebanyak 99 ujian kematian bermula  dari bayi hinggalah sebelum mati. Sehinggalah ujian yang ke 100 maka kamu akan mati.

10. Siapa-siapa yang berusia pada umur 40 tahun tetapi dia tidak berubah sikap ke arah yang baik maknanya mereka tidak akan berubah lagi sehingga menunggu talkin dibacakan.
11. Setiap yang hidup akan merasai mati. Roh orang beriman adalah seperti minyak yang berkumpul di dalam air. Roh akan berkumpul di kaki untuk ditarik keluar. Dari kaki ke pinggang, ke perut bilamana sampai ke perut akan berdengar beberapa urat putus dan bagi lelaki terasa zakar naik ke atas lalu bagi orang beriman akan mengatakan laailahailallah tapi bagi orang yang tidak beriman akan mengatakan ia cuma kebetulan sahaja tidak ada apa-apa yang berlaku.
12. Semua makhluk Allah termasuk haiwan tahu yang roh si mati itu akan masuk syurga @ neraka kecuali jin dan manusia.
13. Tanda-tanda jenazah itu ahli neraka:
-Mulut berbuih
-Wajah masam
-Najis keluar terlalu byk ketika sakarul maut.
14. Tanda-tanda jenazah itu ahli syurga:
-Dahinya berpeluh
-Hidung kembang kempis dan air matanya mengalir
- Wajahnya lebih cerah ketika sakaratul maut
-Najis keluar sedikit sahaja
15. Sakitnya perempuan yang bersalin itu adalah 1 juzuk daripada 99 juzuk kesakitan kematian.
16. Kalau boleh yg memandikan jenazah kita adalah anak-anak kita yang mengkafankan kita adalah anak-anak kita. Anak kita jadi imam solat jenazah kita maka beruntungnya kita.
17. Ustaz berkongsi doa yg dibacakan oleh anak2 kpd ayahnya yg telah meninggal dunia.( sewaktu menziarahi jenazah seorg lelaki)
"Ya Allah ..waktu mana kami kecil-kecil, ayah kami mandikan kami dengan penuh kasih sayang dengan penuh kelembutan. jadi kami mandikan jenazah ayah kami ini. Maka Kau ampunkan dosanya ya Allah! waktu mana kami kecil ya Allah..kami dipakaikan baju oleh ayah kami ya Allah..tapi kami lempar ke mukanya ya Allah!..jadi hari ini kami kafankan ayah kami dengan penuh kelembutan..KAU ampunkan dosanya..di waktu mana ayah kami menjadi imam solat kami dulu..kami lari tak nak  solat..jadi hari ini kami imamkan solat jenazah ayah kami"..
18. Al-Quran yang dibaca sebelum subuh akan menjadi peguambela sewaktu kita di alam barzakh nanti.
19. Nabi kata "aku tidak pernah tengok keadaan yang sangat huru hara seperti padang mahsyar ini. siapa yg selamat di alam barzakh maka selamatlah dia di padang mahsyar nanti".

Moga kita tergolong dikalangan hambaNYA yang diredhai.
WasSaLam

12 Nov 2015

Pelita Nostalgia..

AssaLamualaikum
Korang tahu tak tentang lampu @ pelita ini? 
Lampu yang membawa seribu nostalgia. Membawa seribu kenangan masa kecil dahulu. Sempat kah you all menggunakan lampu begini. Teringat arwah bapa yang selalu isi minyak tanah dan hidupkan lampu bila sahaja masuk Maghrib. Keesokan pagi nya pasti kaca lampu akan hitam dek asap.
Setelah beberapa ketika, lampu ini tidak digunakan lagi selepas cahaya elektrik mengambil alih. Namun ianya tetap menjadi sebahagian dari nostalgia masa kecilku. Hidup susah tapi penuh kegembiraan. Dunia kanak-kanak yang tiada masalah. Apapun tetap bersyukur dengan apa yang ada hari ini. Jumpa lagi..

Anak Tawau...

AssaLamualaikum
Nak kenal serba sedikit tentang orang Tawau, Sabah. Ini lah aku :
Buat pengetahuan Kak Paridah Ishak yang pernah bertanya, yup kak! saya anak jati Tawau. Sebab ramai yang ingatkan aku asal Semenanjung. En Kuling a.k.a babah abang Pae orang Melaka (Jasin). Automatik si abang Pae tu darah keturunan Hang Tuah. Eh! yakah?? Haha! saya dilahir & dibesarkan di Tawau yang juga dikenali sebagai Bumi Peladang. Tawau yang kaya dengan hasil pertanian nya, kaya dengan hasil lautnya. Puas hati kalau dapat makan seafood bila berada disini. So, kalau ada kengkawan blogger yang nak datang ke Tawau jangan lupa roger-roger, boleh aku belanja sayap ayam panggang dan keropok Amplang. Haha! Jumpa lagi..

11 Nov 2015

Kupu-Kupu hinggap Malam..

Assalamualaikum
Kupu-kupu, mungkin tersesat masuk rumah. Aku cuba bukakan pintu, tapi tetap tak mahu keluar. Yang si abang Pae plak ketakutan. Hahaha. Adoi dia ni Kupu-Kupu pun takut. Nama je anak bekas askar. Sabar jak lah! Aku cakap kat Pae "mungkin ada orang nak datang pinang Pae". Hahaha. Dia cakap, ye ker, Ibu?? Amboi.. entah tau ker idak makna perkataan "pinang" tu. Hihi. Jumpa lagi..

10 Nov 2015

Abg Pae-Muka tak puas hati..

Assalamualaikum
Cuti-cuti Deepavali hari ini. Semalam pun cuti untuk selesaikan beberapa urusan. Bersambung hari Ini. Spend time dengan si abang Pae ni hah! Dia kan suka tunjuk muka tak puas hati kalau tak dapat apa yang dia nak. Tak menyabar nak minta beli play doh yang dia panggil 'tanah liat'. Tengok ni hah! Sabar jak lah! Macam-macam.  Haha. Jumpa lagi..

6 Nov 2015

Wajah baru... TQ Sis Najiah

AssaLamualaikum
Saja nak abadikan di sini juga. Walaupun mungkin ramai yang dah perasan. Haha! Apa yang korang lihat sekarang, inilah wajah baru blog picisan ku. Tempat meluah segala rasa, tempat berkongsi suka duka. Menulis sekadar suka-suka dan hobi. Terima kasih pada semua sahabat-sahabat blogger yang selalu singgah. You all sudah jadi sebahagian dari hidup aku. Sayang semuanya! 
Saja abadikan disini, wajah blog sebelum ini. 
Akan jadi kenangan suatu hari nanti.

Terima kasih banyak pada sis Najiah yang sudi membuatkan blog ini seperti sekarang. Suka sangat design yang beliau buat. Simple, kemas dan menarik. Angkat bakul sendiri. Haha. Mana tahu ada kengkawan yang  berminat nak cantikkan blog, bolehlah hubungi beliau. Pasti puas hati dengan harga yang amat berpatutan. Jumpa lagi!

Pentingnya BERSAHABAT...

Salam Jumaat
Perkongsian dari Group What Apps. Betapa penting nya untuk bersahabat.
Diriwayatkan bahawa : 
Apabila penghuni Syurga telah masuk kedalam Syurga, lalu mereka tidak menemukan sahabat-sahabat mereka yang selalu bersama mereka dahulu sewaktu di Dunia.
Mereka pun bertanya tentang sahabat mereka kepada Allah:
"Yaa Rabb.. 
Kami tidak melihat sahabat-sahabat kami yang sewaktu di Dunia solat bersama kami, puasa bersama kami dan berjuang bersama kami."
Maka Allah berfirman: 
"Pergilah kamu ke Neraka, lalu keluarkanlah sahabat-sahabatmu yang di hatinya ada iman walaupun hanya sebesar zarrah" 
(HR : Ibnul Mubarak dalam kitab "Az-Zuhd").
Al-Hasan Al-Basri berkata: 
"Perbanyaklah sahabat2 mukminmu, kerana mereka memiliki Syafa'at pada hari Kiamat nanti".
Ibnul Jauzi pernah berpesan kepada sahabat-sahabatnya sambil menangis: 

"Jika kalian tidak menemukanku nanti di Syurga bersama kalian, maka tolonglah bertanya kepada Allah tentang aku:
"Wahai Rabb Kami.. 
Hamba-Mu si fulan, sewaktu di dunia selalu mengingatkan kami tentang ENGKAU.. 
Maka masukkanlah dia bersama kami di Syurga-Mu"
SAHABAT Ku.. 
Mudah-mudahan dengan ini, aku telah mengingatkanmu Tentang Allah ..
Agar aku dapat besertamu kelak di Syurga & Redha-Nya..
آمِيّنْ. يَا رَبَّ العَالَمِينْ 
Ya Allah..
Aku Memohon kepada-Mu.. Kurniakanlah kepadaku sahabat-sahabat yang selalu mengajakku untuk tunduk patuh & taat Kepada Syariat-Mu..
Kekalkanlah persahabatan kami hingga kami bertemu di akhirat kelak...
Oleh itu...
Carilah seberapa ramai sahabat baik yang menunjukkan jalan-jalan ke Syurga & jalan-jalan kebaikan.
WAHAI SAHABATKU,
JANGAN LUPA BERTANYA TENTANGKU... JIKA AKU TIADA DI SYURGA NANTI :(

5 Nov 2015

Si abang Pae dan Pawagam

AssaLamualaikum
Masih cerita weekend kami baru-baru ini. Maklum bila ada En Kuling barulah ada peluang untuk ukur jalan. Kalau aku dan si abang Pae sahaja memang jarang keluar. Al-kisah hero aku tu dok sibuk sebut pawagam. Nak pergi pawagam katanya. Tengok iklan kat TV tak sabar-sabar dia. So, bila balik ke Tawau bawalah dia sebab di Lahad Datu tiada pawagam. Huhu! Ini 1st time tau si abang Pae tengok filem di pawagam. Haha! kesian kan! aku pun sebenarnya dah berkurun tak masuk. Last mungkin 7 tahun dulu. Hahaha.
Tengok tu muka excited! Hihi. 
Siap pesan jangan lupa beli Pop Corn dan minuman 
(iklan kat TV kan tengok wayang kena ada semua tu. Haha! pengaruh sungguh!)
Masa nak pergi pun dok bebel juga, En Kuling memang tak minat langsung nak masuk. Kalau masuk confirm tidur katanya. Nasib lah haha! so, aku dan adik-adik lah yang meneman si abang Pae. Demi anak! teman jak lah. Sesekali layan permintaan anak. Biar dia gembira.
Jumpa lagi..

4 Nov 2015

Sabar...

AssaLamualaikum
Sekadar renungan buat kita semua.
Hasi perkongsian dari Group What apps.
"SABAR"
Dalam sabar ada dengki
Dalam sabar ada putus asa
Dalam sabar ada maaf
dalam sabar ada redha
dalam sabar ada syukur
dalam sabar ada takwa
Dalam sabar ada hikmah
sabar sabarlah
kerana ujian Allah
Allah sayang pada orang yang sabar ...

Dinner di Astana Cafe, Tawau

AssaLamualaikum
Cerita masa balik ke Tawau weekend baru-baru ini. Oleh kerana kami balik petang Jumaat selepas kerja, so bila sampai dah malam. Perut pun lapar. Terus cari port untuk makan malam. MakCu si abang Pa'e suggest makan kat Astana Cafe. Kami ikut sahaja.
Nasi Lalap Tawindo. Ini pilihan aku, mak dan MakCu Pae. 
Memang sedap, ayamnya diperap dengan madu dan dibakar, 
terasa kemanisannya. 
Harga RM8
Suasana dalam Cafe, tenang. Penuh dengan barangan Chelsea. 
Mungkin pemiliknya peminat setia:)
Tengoklah tu Mak, En Kuling dan MakCu Pae. Muka lapar menunggu order sampai. Si abang Pae pula mood tak mahu makan datang lagi. Just order kan dia kentang goreng.
Senarai harga menu. Berpatutan dan puas hati makan. Service pun cepat!

Kami kalau pulang kampung, suka mencuba makan di tempat-tempat baru. Maklum kedai makan tumbuh bak cendawan tumbuh lepas hujan (ceh! berperibahasa lah pula). Haha! Lokasi Astana Cafe ni pun senang dicari. Bersebelahan Hotel Astana, Tawau sebaris Wisma Pelabuhan. Memang takkan sesat punya sebab terletak di kawasan bandar. Nak parking pun senang.
Alamat:
TB 4713 Lot 3 Grnd Floor Jln Dunlop (Tawau)
Tawao, Sabah, Malaysia
089-774 777

3 Nov 2015

Sesekali Biarkan Anak-anak buat sendiri...

AssaLamualaikum
Terjumpa perkongsian dari Facebook Ibu Bapa cemerlang. Suka kumpul ilmu keibu bapaan seperti ini. Moga-moga dapat menambah pengetahuan buat kita. Al-maklum pengalaman menjadi ibu bapa baru setahun jagung berbanding sahabat-sahabat blogger yang lain.
Macam si abang Pae tu takde maknanya aku nak buatkan kerja sekolah nya. Yang ada aku pantau dan beri tunjuk ajar. Kadang bertukar juga jadi singa bila mengajar. Memang tiada bakat nak jadi cikgu. Haha! Tapi lepas itu aku insaf, tak boleh ajar anak dengan marah-marah. Aku bertukar jadi Ibu yang lemah lembut bila mengajar. Kome jangan tak percaya plak. Hahaha. Apapun kena biarkan anak-anak buktikan kebolehan mereka, kan? ..
Jumpa Lagi! 

APC - Tahniah My Geng Karas

AssaLamualaikum
Entry penghargaan buat my beloved friend. Salah seorang Geng Karas ku Puan Harisa pada Sabtu baru-baru ini dapat Anugerah Pekerja Cemerlang dan juga Anugerah Khas PPD, Lahad Datu. Tahniah BFF. Aku tahu segala penat lelah mu selama ini mendidik anak bangsa (Pendidikan Khas) penuh dedikasi dan amanah dalam menjalankan tanggung jawab. Menjadi kawan dan teman pada anak-anak murid mu. Mendengar rintihan dan keluhan Ibubapa yang ada anak-anak istimewa ini. Kadang aku rasa tanggung jawab mu lebih dari seorang guru. Alhamdulillah, mungkin hanya Allah yang mampu membalasnya. Tahniah kawan ku, teruskan usahamu. Chaiyok!
Yang tudung Maroon itulah dia:)
Terima kasih juga kerana sudi jadi sahabat susah senangku. It's all about friendship. 
Jumpa Lagi!

2 Nov 2015

Mood lemau a.k.a ngantuk..

Assalamualaikum
Pagi yang agak muram. Cuaca seakan menyuruh tido. Haha! Lemau lah. Seawal jam 4.20pagi dah bangun siap-siap. Nak balik ke LD, kerja. Si abang Pae pun nak sekolah masuk pukul 7.30 pagi. Risau juga kalau terlewat. Abang Pae siap pesan 'Ibu, teacher pesan sebelum pukul 8 pagi kena ada kat sekolah dah'.  Ye lah sayang! Takut sangat dia kalau lambat. Haha.
Ini pic di perjalanan pagi tadi. Damai suasana. Masa begini belum banyak kenderaan. So, En Kuling drive pun rileks sahaja. Dalam 2 jam setengah sampai lah ke Lahad Datu. Memulakan rutin kerja. En suami plak balik rumah sambung tidur lah tu. Tadi dia tanya anak kesayangan tu nak makan apa? mungkin nak masak lah tu. Dalam hati bagus juga ada orang masakkan. Haha! balik nanti tinggal makan. Sementara cuti ni dapatlah tolong apa-apa yang patut. Petang pula baru jumpa. 
Sekian.