AssaLamualaikum
Anak suka bergaduh? kekadang kita tak boleh nak duga kan. Budak tengah membesar, memanglah macam-macam gayanya. Tak terlepas juga budak tumpis Pa'e tu. Kadang pandai buat gaya ala-ala nak cari gaduh. Pandai menjeling, pandai tarik muka. Haha!
A. Mengapa mereka bergaduh?
1. Seorang anak berasa tidak mendapat perhatian yang sama banyak dengan adik beradik lain. Atau mereka berasa dibebankan dengan banyak tanggungjawab berbanding adik beradik lain.
2. Fasa pembesaran mereka juga mempengaruhi sikap mereka terhadap orang lain dan bagaimana mereka menerima hakikat perlu berkongsi perhatian dan kasih sayang ibu bapa dengan adik beradik lain.
3. Ada kala kanak-kanak yang lapar, bosan dan mungkin penat dengan persekitaran menyebabkan mereka suka memulakan pergaduhan.
4. Mereka inginkan perhatian ibu bapa atau kakak atau abang.
B. Bagaimana anda menangani pergaduhan anak-anak?
1. Jangan memihak dan jangan terbabit kecuali jika pergaduhan itu boleh mendatangkan kecederaan fizikal. Sebabnya, jika anda kerap campur tangan mungkin menimbulkan pemahaman kepada mereka, ibu atau bapa akan sentiasa ada untuk membantu mereka. Jadi, mereka tidak upaya untuk berdikari menyelesaikan masalah sendiri. Apabila anda memihak pula, akan timbul kefahaman pada seorang lagi anak, dia sentiasa dilindungi dan sentiasa selamat kerana lebih disayangi.
2. Hati-hati dengan anak yang suka mengadu. Mungkin dia betul dan mungkin juga tidak. Kadangkala mendengar sebelah pihak hanya menyelesaikan perkara itu sekejap saja sebelum mereka bergaduh semula. Kadangkala mereka juga sering menuduh adik beradik lain atas kesilapan yang dibuat.
3. Jangan membuat perbandingan siapa yang lebih baik dan sebaliknya
4. Perhatikan masa dan hari atau pola yang memungkinkan pergaduhan boleh tercetus. Misalnya pertukaran jadual rutin harian.
5. Luangkan masa berkualiti dengan anak-anak. Misalnya berkhemah atau melancong sekeluarga. Aktiviti begini akan lebih mengeratkan lagi hubungan mereka apabila mula berkongsi cerita.
6. Jangan fokus keterlaluan anak mana yang patut disalahkan, sebaliknya selesaikan dengan baik membabitkan kedua-duanya. Misalnya saling bermaafan.
7. Bantu anak anda membentuk kemahiran bagi mengatasi konfliknya sendiri. Misalnya ajar mereka bertolak ansur, saling menghormati dan mengagihkan makanan atau apa saja barangan yang perlu dikongsi secara adil.
8. Apabila mereka bergaduh anda cuba meleraikannya, sebaiknya jangan tengking atau membebel. Nasihat dengan baik mengapa mereka tidak boleh bergaduh dan apa kesannya jika mereka bergaduh.
9. Paling utama, jika anda kerap menengking atau menaikkan suara apabila bersama mereka, mulakan dengan mengurangkan atau menghapuskannya langsung. Tingkah laku anda mudah ditiru anak.
Sharing is caring. Mari sama-sama kita amalkan. Moga bermanfaat pada kita sebagai ibu bapa.
WasSaLam^_^